Usahawan Kreatif

Usahawan Kreatif merupakan kisah kejayaan dan pengalaman Usahawan Melayu dalam perniagaan mereka. Segala suka-duka dan jatuh bangun dalam perniagaan dikongsi bersama dalam Usahawan Kreatif sebagai panduan kepada Usahawan Kreatif yang baru.

Hassan 'Takluk' Bidang Logistik

Siapa sangka budak kampung yang zaman kanak-kanaknya gemar memanjat pokok, terjun parit, bermain buah getah dan hanya mempunyai sebuah basikal usang kini memiliki lebih 60 lori kontena yang beroperasi di seluruh tanah air.

Lebih memberangsangkan 'penaklukan' perniagaan logistik itu diperoleh dalam masa kurang 10 tahun dan mempunyai jalinan kerjasama pintar dengan sebuah syarikat dari Singapura bagi memberi khidmat kepada pelanggan seluruh dunia.

Itulah Mohd Hasssan Bosarah, 39, pengasas serta Pengarah Tunas Nasional Holding Sdn Bhd, syarikat
logistik yang terbabit menghantar pelbagai barangan terutama makanan sejuk beku untuk pelanggan dalam serta luar negara.

Menceritakan kembali zaman remajanya, Hassan berkata, dia sebelum ini hanya mengimpikan kerja dalam sektor kerajaan kerana dianggap lebih terjamin selain mendapat gaji tetap.

"Saya bukan datang daripada keluarga senang. Oleh itu, saya hanya impikan kerja dengan kerajaan kerana ia lebih menjamin masa depan.

"Bagaimanapun, semua itu berubah selepas saya bertugas di bahagian korporat sebuah syarikat permotoran tempatan sekitar 1995," katanya.

Di syarikat berkenaan, Hassan berpeluang bertemu ramai pelanggan yang membabitkan diri dalam bidang logistik. Lebih mengujakannya, ada di kalangan mereka bermula dengan hanya dua lori sebelum bertambah kepada 20 dalam tempoh kurang setahun.

Hassan mula memikirkan perkara itu secara mendalam selepas mendapati pembabitan Bumiputera dalam bidang berkenaan sangat berkurangan.

"Saya menyuarakan pendapat untuk berhenti dan membuka syarikat logostik sendiri, tetapi mendapat bantahan daripada ibu (Jariah Jamian, 70) serta anggota keluarga lain.

"Bagaimanapun, saya meyakinkan mereka bahawa impian itu pasti mampu dicapai jika saya mendapat kepercayaan, bantuan serta doa mereka," kata pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) atau kini Universiti Putra Malaysia.

Ketika mengambil keputusan berhenti kerja dan membuka perniagaan sendiri, Hassan baru dua tahun berkahwin dengan ISmarina Siran, 35, tetapi dia berbangga kerana mendapat sokongan padu isteri tercinta.

Pada 1996, Hassan menubuhkan Lakaran Jitu Sdn Bhd bermula dengna dua lori saja bersama modal permulaan RM15, 000.

"Perniagaan sungguh memberangsangkan tetapi kegawatan ekonomi yang tiba-tiba melanda menyebabkan saya terpaksa menjual perniagaan itu pada 1998. Saya sungguh sedih dan hanya sokongan isteri, keluarga serta rakan mampu mengubati kesedihan.

"Bagaimanapun, saya tidak menoleh ke belakang dan menggunakan wang jualan syarikat untuk membuka satu lagi perniagaan logistik, Gerimis Baiduri Services Sdn Bhd bersama beberapa rakan kongsi lain," katanya.

Hassan berkata, ada yang positif ketika kegawatan kerana ramai rakan perniagaan, khasnya bukan Bumiputera, sanggup membantu memberi idea bagaimana mahu terus 'bernafas' dalam perniagaan berkenaan.

Pada 2000, selepas mendapati perniagaan Gerimis Baiduri semakin berkembang dengan lebih 200 lori, Hassan berpendapat apa salahnya membuka satu lagi perniagaan sama tetapi kali ini membabitkan ahli keluarganya saja.

"Lima adik beradik saya kini membantu dalam perniagaan dan perkembangan Tunas Nasional. Kami bekerja lebih kepada satu keluarga, dengan ibu diberikan tempat teratas dalam memberi nasihat jika ada sesuatu yang tidak kena sesama kami.

"Kini, saya dalam perancangan meluaskan lagi perniagaan ke beberapa negara seperti China, Indonesia, Emiriyah Arab Bersatu serta India kerana mereka mempunyai pasaran yang sangat besar selain bagus untuk prospek masa depan syarikat," katanya.

Bagaimanapun, menurut Hassan, kejayaan itu semua tidak datang bergolek tetapi penuh dengan keringat dan air mata.

Dia pernah tidak tidur hingga berhari-hari kerana sibuk mencari pelanggan, menyiapkan proses dokumentasi selain bimbang gagal meraih kontrak.

"Syukur kerana tidak pernah sekalipun saya dipinggir atau dicaci oleh keluarga atau rakan, sebaliknya mereka banyak membantu meringankan beban selain tekanan memuncak ketika itu," katanya.

Hassan turut berbangga kerana Tunas Nasional mempunyai empat anak syarikat iaitu Lakaran Jitu Sdn Bhd, Gading Saga Sdn Bhd, Tunas Awan Penaja Sdn Bhd dan MH Prima Corporation Sdn Bhd.

Tidak lengkap jika tidak menceritakan berkaitan keluarga dan Hassan yang berkahwin 14 tahun lalu kini dikurniakan enam cahaya mata, iaitu empat lelaki dan dua perempuan.

"Pada saya, anak adalah permata hidup manakala isteri pula permaisuri hati. Sesibuk mana sekalipun, saya tetap meluangkan masa untuk anak serta isteri kerana mereka pendorong utama saya mencapai impian.

"Doa serta restu ibu pula memberi kekuatan kepada saya untuk menempuh semua dugaan dan arwah ayah, Bosarah Abdullah, pasti gembira melihat kejayaan saya jika dia masih hidup." katanya dengan nada sayu.

Hasil kerja keras itu, Hassan kini boleh berbangga dengan tiga aset dalam bentuk bangunan miliknya di Johor dan Selangor bernilai kira-kira RM1.2 juta.

Profil Usahawan Kreatif

Nama : Mohd Hassan Bosarah

Lahir : 10 September 199 di Pekan Nanas, Johor

Jawatan : Pengarah Tunas Nasional Holding Sdn Bhd (memiliki empat anak syarikat - Lakaran Jitu Sdn Bhd, Gading Saga Sdn Bhd, Tunas Awan Penaja Sdn Bhd dan MH Prima Corporation Sdn Bhd)

Pendidikan : Sekolah Kebangsaan Jalan Batu, Pekan Nenas, Sekolah Menengah Pekan Nenas, Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia - UPM)

Isteri : Ismarani Siran

Anak : Muhamad Hanif (13); Muhamad Hidayat (12); Muhamad Hafizi (11); Muhamad Hafizuddin (9); Siti Nur Farish (5) dan Nur Elisah (4)

Adik Beradik : Keempat daripada lapan beradik


Tip Usahawan Kreatif

Cari Kelainan Untuk Berjaya
Generasi usahawan muda kini perlu lebih proaktif menguruskan perniagaan dan tidak terlalu mudah mengharapkan bantuan pelbagai pihak kerana ia akan memusnahkan masa depan mereka.

Hassan berkata, usahawan muda juga perlu mempunyai resipi sendiri untuk berjaya dalam perniagaan diceburi.

"Nasihat saya, tentukan arah tuju syarikat serta perniagaan, berani berdepan cabaran selain risiko paling penting sekali ialah bertanggungjawab.

"Jangan cepat berputus asa apabila gagal, sebaliknya mantapkan usaha. dalam masa sama, usah lupa diri kerana ia bakal menjerat usahawan ke arah kehancuran," katanya.

Menurutnya, bidang logistik memberi peluang kepada usahawan muda untuk meluaskan perniagaan tetapi tidak ramai mahu terjun dalam bidang itu.

Katanya, jika peluang dimiliki digunakan sepenuhnya, bidang logistik diceburi mampu diluaskan lagi pasarannya hingga ke luar negara.

"Kami mendapat banyak pertanyaan daripada rakan dari luar negara seperti Dubai, China, Indonesia dan beberapa negara lain untuk menjalinkan usaha sama.

"Dalam masa sama, jika kita mampu merealisasikan perkara itu, sudah pasti kita secara automatik akan meraih peluang pasaran di negara mereka," katanya.

Menurut Hassan, ramai rakan niaga luar negara mahu memasuki pasaran Malaysia kerana megara ini mempunyai rangkaian perkhidmatan sokongan yang sangat baik selain perkembangan pesat ekonomi serantau.

Oleh itu, Hassan berharap usahawan muda Bumiputera tidak terlalu mengikut aliran perniagaan yang ada, sebaliknya cuba mencari kelainan keran pasti membuahkan hasil lebih besar jika mampu memanipulasi peluang yang ada.

"Saya sanggup memberikan didikan atau panduan kepad bakal atau usahawan muda Bumiputera untuk berjaya, asalkan mereka benar-benar komited.

"Jika kita mampu menjalin jaringan perniagaan seperti dilakukan kaum lain, tidak mustahil usahawan Bumiputera boleh berjaya, malah lebih baik daripada sekarang," katanya.

Petikan Metro Ahad

Sila Hebahkan

Sertai Kami

Popular

Tajuk Utama

Pelawat